Pemikiran Terhadap Perkerjaan - Blog Tips Kerjaya

Breaking News

Pemikiran Terhadap Perkerjaan

Petikan Daripada Kertas Kerja Berjudul 'PEMIKIRAN DAN KEPUASAN ORANG MELAYU TERHADAP PEKERJAAN: FOKUS KEPADA PEKERJA SYARIKAT JEPUN DI MALAYSIA' Oleh Rohayati Paidi.


Gambar hiasan

Jika dilihat kepada purata pendapatan bulanan isi rumah, pada tahun 1970 nilainya adalah RM172 dan pada tahun 1999 nilai tersebut telah meningkat kepada RM1984. Dalam tempoh 29 tahun telah berlaku peningkatan dalam purata pendapatan bulanan isi rumah masyarakat melayu sebanyak 11.5 kali ganda. Sememangnya ia boleh dianggap sebagai satu kejayaan, tetapi jika dibandingkan dengan masyarakat cina, purata pendapatan bulanan mereka adalah RM394 pada tahun 1970 dan RM3456 pada tahun 1999 bagi setiap rumah. Jika dikira berdasarkan nisbah, beza purata pendapatan bulanan isi rumah melayu dan cina ialah 1:2.24 pada tahun 1970 iaitu cina melebihi melayu sebanyak 2.24 kali ganda, manakala pada tahun 1999 nisbahnya adalah 1:1.74.2 Perbezaan ini semakin mengecil, tetapi masih terdapat jurang di antara taraf hidup masyarakat Melayu dan Cina.

Kajian ini meletakkan punca orang melayu ketinggalan dari segi ekonomi adalah yang pertama, keadaan di mana orang Melayu diletakkan dan yang kedua, pemikiran orang Melayu itu sendiri. Terdapat dua keadaan yang dianggap menjadi punca kepada kemerosotan taraf hidup masyarakat melayu. Keadaan pertama ialah masyarakat Melayu sebagai bekas jajahan Inggeris. Masyarakat melayu diletakkan pada kedudukan yang lemah dalam dunia ekonomi yang dikuasai oleh Eropah terutamanya Inggeris dan juga kumpulan migrasi China yang sangat besar. Keadaan ini menyebabkan masyarakat melayu menjadi lemah dan berasa takut untuk menghadapi risiko, bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dari segi politik.3 Sewaktu zaman penjajahan, industri ekonomi Malaysia (pada waktu itu Malaya) dikawal secara meluas oleh Inggeris. Orang-orang Inggeris telah membuka ladang getah dan lombong yang besar serta menguasai perdagangan, kewangan dan tentera laut. Orang-orang melayu hanya mampu menguruskan tanah-tanah pertanian dan ladang getah yang kecil.

Akibatnya, laluan untuk masyarakat Melayu maju ke bidang perniagaan dan perindustrian telah tertutup dan mereka tersekat dalam dunia pertanian dan perladangan kecil-kecilan.4

Tetapi, walau bagaimanapun seseorang itu diletakkan, segala-segalanya bergantung kepada pemikiran dan usaha individu itu sendiri untuk menentukan sama ada dia berjaya ataupun tidak di tempat tersebut. Terdapat banyak kajian yang meletakkan punca orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi adalah cara pemikiran mereka sendiri.

Ungku Aziz mengatakan, jika dilihat secara keseluruhan, orang melayu tidak cenderung untuk cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. Orang Melayu tidak mempunyai keinginan untuk berjaya, tiada motivasi untuk terus belajar sebagaimana orang Jepun dan Eropah.5

Menurut Syed Amin Aljeffri pula, kebanyakan anak muda Melayu beranggapan kehidupan menjadi mudah selepas tamat zaman persekolahan. Bagi mereka, keperitan sewaktu zaman persekolahan telah berakhir dan mereka boleh melalui kehidupan yang lebih mudah selepas itu. Pemikiran ini menjadikan anak-anak muda tersebut manusia yang lemah.6

Kajian yang dijalankan oleh Parkinson ke atas penduduk di perkampungan petani pula membuktikan orang Melayu tidak gemar kepada perubahan.7 Berbeza dengan orang Cina, orang Melayu kurang gemar menukar cara hidup mereka. Bagi mereka, untuk menukar kehidupan daripada seorang petani kepada seorang peniaga adalah sesuatu yang drastik.8

Menurut Dr. Ismail Md Salleh, orang Melayu lemah dari segi kewangan dan pengurusan serta takut untuk mengambil risiko.9 Malahan terdapat pekerja lelaki Melayu, sanggup menjadi leader operator pengeluaran untuk selama-lamanya. Menurutnya, setiap tahun syarikat tempat beliau bekerja akan menghantar beberapa orang pekerja untuk menjalani latihan di Jepun. Selepas pulang daripada latihan, pekerja tersebut akan dinaikkan pangkat dan dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan dan menunjukkan hasil yang telah dipelajari di Jepun. Oleh kerana beliau bimbang tidak dapat menunjukkan hasil yang positif, beliau memilih untuk tidak menjalani latihan di Jepun dan terus kekal dengan kedudukan sekarang.

Berdasarkan temubual yang dijalankan oleh Tachihori keatas 37 orang bekas pelajar Malaysia di Jepun, hampir kesemua responden menyatakan mereka berpendapat orang Malaysia tidak rajin atau tidak ramai yang rajin. Mereka berpendapat, orang Jepun sangat serius dan fokus dalam pekerjaan. Sebaliknya orang Malaysia banyak berbual-bual dengan rakan sekerja ataupun di telefon sewaktu bekerja. Di samping itu, di Malaysia terdapat ramai pekerja yang menukar pekerjaan atau sekurang-kurangnya merancang untuk menukar pekerjaan. Ini menunjukkan tahap kesetiaan mereka terhadap pekerjaan dan tempat kerja adalah rendah.10

Berkenaan dengan pekerja yang gemar menukar tempat kerja, Syed Amin menyatakan bahawa mereka ini tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri. Menurut Syed Amin lagi, pekerja sekarang mudah jemu dengan apa yang dilakukan. Mereka ingin mencari pekerjaan baru. Oleh itu mereka akan menukar tempat kerja. Sebab atau alasan yang sering mereka gunakan ialah ingin menukar angin ataupun suasana. Keadaan ini dipanggil job hopping dan sering diketengahkan sebagai masalah di Malaysia. Sewaktu menukar tempat kerja, orang Melayu sering menuding jari kepada majikan. Antara alasan yang sering mereka gunakan ialah majikan tidak mengambil berat tentang pekerja dan peluang untuk mereka memajukan diri di tempat kerja tersebut adalah terhad.11

Selain daripada kajian-kajian di atas, terdapat banyak lagi kajian yang menunjukkan sifat-sifat dan pemikiran orang Melayu. Berdasarkan kajian-kajian tersebut, orang Melayu seolah-olah memiliki pemikiran yang pasif dan tahap motivasi yang rendah. Tetapi ini adalah ciri-ciri orang Melayu secara umum dan tidak bermakna orang Melayu akan menunjukkan sifat sedemikian pada setiap masa dan di setiap tempat. Tingkah laku mereka akan berubah bergantung kepada suasana di tempat kerja. Contohnya, walaupun dalam industri pembuatan yang sama, suasana di syarikat milik Jepun, milik barat dan milik tempatan adalah berbeza dan tingkahlaku pekerja-pekerja di setiap syarikat itu juga akan berbeza.

Satu perkata penting yang perlu dipertimbangkan ialah setiap manusia memiliki emosi dan perasaan. Jika diletakkan di tempat kerja yang tidak menyenangkan, majikan tidak boleh mengharapkan pekerja tersebut bekerja sepenuh tenaga mereka kerana secara normalnya wujud had dalam diri seseorang manusia. Sekiranya berasa tidak puas hati dengan tempat kerja, pekerja tidak dapat melakukan pekerjaannya dengan baik. Sebaliknya, jika berasa puas hati dengan tempat kerja, tahap motivasi dan semangat bekerja akan meningkat.

Yoshimura12 telah menjalankan kajian ke atas 161 orang pekerja (112 orang operator dan 49 orang staf) di syarikat Jepun di Malaysia. Aspek kajian beliau terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang pertama berkaitan dengan latar belakang dan hubungan kekeluargaan para pekerja, yang kedua berkaitan dengan sebab-sebab mereka bekerja di kilang Jepun dan yang ketiga berkaitan dengan keadaan mereka di tempat kerja.

Berkaitan aspek yang pertama, kajian tersebut mendapati orang Malaysia cenderung untuk memilih tempat kerja yang berdekatan dengan tempat tinggal, terutamanya pekerja operator. Bagi pekerja Malaysia, lokasi tempat kerja adalah faktor yang sangat penting sewaktu mencari pekerjaan. Terutamanya bagi pekerja wanita, mereka cenderung untuk memilih tempat kerja yang berhampiran dengan tempat tinggal. Selain itu, kajian mendapati kebanyakan orang Malaysia memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk dihantar atau diberikan kepada keluarga. Kedua-dua kenyataan ini menerangkan bagaimana hubungan kekeluargaan yang kuat dalam diri pekerja Malaysia.

Bagi aspek yang kedua pula, didapati pekerja operator banyak menggunakan cara tidak formal sewaktu mencari pekerjaan. Kebanyakan daripada mereka memperolehi maklumat tentang syarikat tersebut melaui rakan, kenalan atau keluarga. Oleh sebab itu, pengetahuan mereka tentang syarikat tersebut sangat kurang dan ada yang tidak tahu bahawa mereka bekerja di syarikat Jepun.

Bagi aspek yang ketiga iaitu penilaian pekerja terhadap syarikat Jepun, antara aspek-aspek yang dinilai positif ialah kestabilan, masa depan, gaji, kebajikan, teknologi tinggi, latihan di Jepun, berdisiplin, bersih, bersopan santun, bagus untuk bekerjasama dan staf Jepun mudah didekati. Aspek-aspek negatif pula ialah pengurusan sumber manusia dan peluang untuk naik pangkat di mana piawaian tidak jelas dan sukar difahami. Mereka berpendapat pekerja tempatan di syarikat Jepun tidak berpeluang untuk naik pangkat dan syarikat Jepun tidak mempercayai kebolehan pekerja tempatan. Di samping itu, matlamat dan norma syarikat yang diletakkan terlalu tinggi hingga menjadi beban kepada pekerja.

Ikuta13 pula telah menjalankan kaji selidik ke atas penduduk perkampungan Melayu berhampiran Kuala Lumpur bagi mengkaji pemikiran mereka terhadap pencarian pekerjaan terutamanya aspek yang ditekankan sewaktu memilih tempat kerja. Tentang kedudukan tempat kerja, kebanyakan daripada mereka memilih tempat kerja yang berhampiran dengan kampung dan seboleh-bolehnya berdekatan dengan rumah tempat tinggal. Garis panduan sewaktu memilih tempat kerja ialah gaji, kemudahan dan fasiliti serta berhampiran kawasan kampung. Sewaktu ditanya di syarikat manakah mereka mahu bekerja, majoriti menjawab syarikat awam Malaysia dan keduanya syarikat Jepun. Sebab mereka memilih syarikat tempatan ialah kerana ianya syarikat Malaysia dimana bahasa pertuturan, budaya dan agama adalah sama, jadi lebih mudah untuk bekerja.

Nishida14 pula telah menjalankan kaji selidik tentang tahap persetujuan pekerja Melayu dan Cina terhadap keadaan tempat kerja di syarikat Jepun berdasarkan empat item iaitu hubungan manusia, kandungan kerja, pengurusan syarikat dan kebajikan. Jika dilihat kepada respon 97 orang pekerja Melayu yang di kaji selidik, item yang dinilai tinggi adalah syarikat Jepun mengambil berat tentang kesihatan, menitikberatkan pendidikan dan latihan serta berpeluang untuk naik pangkat. Ini bermakna mereka bersetuju dengan kenyataan-kenyataan tersebut dan berpuashati dengan keadaan tersebut. Sebaliknya, item yang dinilai rendah adalah tugas pekerja Malaysia tidak berat, kebajikan pekerja dijaga sepenuhnya, syarikat sering mendengar idea pekerja, tempat kerja bersih dan lengkap dengan alat terkini, pekerja diberikan tugas yang boleh berpuashati dan pekerja menerima gaji yang mencukupi. Ini bermakna mereka tidak bersetuju dengan kenyataan-kenyataan tersebut dan tidak berpuashati dengan keadaan tersebut.

Nishida turut bertanya tentang perbezaan dari segi budaya yang dirasai oleh pekerja tempatan berdasarkan tingkahlaku dan cara berfikir orang Jepun. Hasilnya, perkara di mana pekerja Melayu rasakan betul-betul berbeza dari segi budaya adalah cara orang Jepun mematuhi masa, pemikiran orang Jepun tentang pengurusan kualiti dan cara orang Jepun mematuhi peraturan dan prosedur.

Berdasarkan hasil kajian-kajian di atas dapat dilihat sedikit gambaran tentang pemikiran dan kepuasan pekerja Melayu terhadap pekerjaan. Salah satu sebab orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi adalah pemikiran mereka terhadap pekerjaan. Orang Melayu dikira kurang berusaha dalam bekerja. Tetapi, sebagaimana yang disebut di atas, manusia tidak boleh bekerja dengan sempurna sekiranya berasa tidak puas hati kepada pekerjaan. Sebaliknya, jika berasa puas hati dengan keadaan di tempat kerja, semangat dan motivasi untuk bekerja akan lahir dengan sendirinya. Jika dilihat daripada hasil kajian-kajian di atas, orang Melayu berasa tidak puas hati tentang beberapa perkara di tempat kerja. Oleh itu, boleh difikirkan salah satu punca orang Melayu kurang berjaya adalah keadaan kerja mereka.

No comments

Sila tinggalkan komen atau pendapat anda. Terima kasih!