Persatuan Majikan Dakwa Graduan Pilih Kerja - Blog Tips Kerjaya

Breaking News

Persatuan Majikan Dakwa Graduan Pilih Kerja

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengesa kerajan memperbaiki sistem pendidikan di Malaysia berikutan lebih 80, 000 graduan didapati masih menganggur walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk menangani masalah itu.

Presiden MEF, Md Jafar Abdul Carrim berkata, Malaysia walaubagaimanapun mempunyai peluang pekerjaan yang cukup luas untuk diisi graduan terbabit, tetapi sebaliknya dikaut pendatang asing.

"Graduan atau rakyat tempatan kita terlalu memilih pekerjaan, justeru pendatang mengambil peluang mendominasi peluang pekerjaan yang ada. Malaysia kerugian lebih RM60 juta sebulan dalam industri minyak kelapa sawit kerana kurangnya tenaga buruh untuk mengusahakannya. Graduan adalah pemangkin yang perlumenunjukkan daya usaha dan kemampuan untuk bekerja supaya dapat membangunkan negara pada masa akan datang," katanya.

Sehubungan itu, Md Jafar berkata, menurut perangkaan, jumlah pendatang yang bekerja secara sah di Malaysia baru-baru ini adalah 1.36 juta manakala 800, 000 adalah pendatang tanpa izin.

Md Jafar berkata, graduan juga menghadapi masalah kurang keupayaan daya bekerja dan ilmu pengetahuan cetek yang membantutkan minat majikan untuk mengambil mereka bekerja.

"Kriteria penting yang perlu ada pada setiap graduan ialah kualiti komunikasi yang membolehkan mereka memikat hati serta meyakinkan majikan bahawa mereka berupaya bersaing dan sama-sama memajukan syarikat. Inilah menjadi masalah pada graduan kerana kebanyakan mereka kurang daya komunikasi berkualiti," katanya.

Bagaimanapun, masalah pengangguran ini tidak merangkumi graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang melahirkan graduan berkualiti tinggi dan mendapat pekerjaan jauh lebih baik berbanding graduan pengajian tinggi awam (IPTA).

Md Jafar berkata, ini disebabkan yuran tinggi yang dikenakan membuatkan pelajar IPTS lebih bersemangat dan rajin untuk belajar kerana bimbang mereka akan rugi jika tidak mendapat pulangan berbaloi.

"Mereka di IPTA banyak mendapat subsidi kerajaan, justeru tidak menganggap pelajaran ini penting dan tidak bersungguh-sungguh. Mereka lebih cenderung untuk berfoya-foya kerana yakin mereka sedang melanjutkan pelajaran di IPT yang diiktiraf, oleh itu mereka mengabaikan pelajaran," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek sumbangan tsunami berjumlah RM50, 000 oleh MEF kepada Mercy Malaysia, di sini, semalam.

Sumber: Berita Harian, 08 Mac 2005.

No comments

Sila tinggalkan komen atau pendapat anda. Terima kasih!